Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 31 MEI 2022 : Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan bernilai RM5,000 kepada 42 perwakilan sidang belia negeri Pahang bagi menjalankan program di kawasan yang diwakili mereka dengan implikasi kewangan bernilai RM210,000 keseluruhan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata namun demikian para perwakilan belia ini akan dibantu oleh wakil rakyat di kawasan berkenaan bagi menjalankan sebarang program.
“Hari ini Kerajaan luluskan sebanyak RM5,000 bagi setiap seorang wakil belia seramai 42 orang ini. Peruntukan ini bagi wakil belia menjalankan program di kawasan masing-masing dan mereka ini akan dibantu oleh wakil rakyat sebenar.
“Perkara pertama yang perlu dilihat adalah apa yang patut diberi bantuan, perhatian di kawasan masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sidang Belia Dewan Negeri Pahang dan Makan Malam Di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang, Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

Turut hadir, Yang Di-Pertua Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad; Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohamed Haji Jaafar; Timbalan Menteri Kewangan I, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan, dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.
Beliau berkata sidang belia pada tahun ini juga menunjukkan peningkatan kualiti perwakilan dimana mereka telah melakukan persediaan rapi sebelum memasuki Sidang Dewan.
“Ada kelainan sidang kali ini, dimana terbukti kualiti pemimpin muda bertambah baik daripada sebelumnya.
“Kehadiran perwakilan juga bukan untuk panaskan kerusi sahaja tapi mereka dah prepare seolah-olah YB sebenar. Saya anggap mereka ini sangat bertuah sebab zaman kami tak ada pengalaman macam ini, dapat masuk berbahas di dewan.
“Saya lihat Negeri Pahang mempelopori perkara ini (persidangan belia) dan kita akan berusaha bersungguh untuk fikir macam mana perkara ini dapat dilanjutkan lagi,” katanya.
Seramai 42 perwakilan belia bersidang selama dua hari bermula semalam pada Sidang Belia Dewan Negeri Pahang yang berlangsung di Dewan Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA