Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 28 MEI 2022 : Golongan belia di negeri ini diminta supaya dapat bekerjasama dalam satu pasukan dan satu keluarga bagi membolehkan sokongan sepenuhnya dapat diberikan kepada pucuk pimpinan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semangat kerjasama dalam satu pasukan juga akan dapat mengelakkan masalah dalaman dan perselisihan faham antara golongan terbabit.
Jelasnya, golongan itu juga perlu menjadi pendengar yang baik serta menghormati kepada golongan yang lebih berpengalaman.

“Cuba menjadi pendengar yang baik, dengar kepada orang yang berpengalaman bercakap sebabnya pengalaman ini tidak boleh dipelajari di universiti, pengalaman ini mesti dilalui,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan 2021 dan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Majllis Belia Negeri Pahang di Kompleks Dagangan Mahkota, Indera Mahkota, di Kuantan.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) yang juga Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Encik Izzat Afifi Abd Hamid, Timbalan Presiden MBNP, Encik Nor Aliff Yaakob dan Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang, Encik Mohd Shafrul Kadir.
Pada mesyuarat perhimpunan itu, seramai 145 perwakilan belia daripada seluruh negeri telah hadir dengan melibatkan pelbagai kaum sebagai usaha membangunkan belia Pahang secara menyeluruh. – PAHANGMEDIA