Oleh : Mahathir Ali
KUANTAN, 25 MEI 2022 : Sebanyak 50 kawasan lagi di seluruh Negeri Pahang akan disediakan dengan Internet Jalur Lebar Satelit 4G yang dijangka siap sepenuhnya tidak lama lagi.
Kawasan tersebut merupakan kawasan pedalaman yang terpencil termasuk penempatan Orang Asli dimana kerja-kerja penyediaan internet jalur lebar mudah alih melalui Pelan Jendela agak sukar dan mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan kerana bentuk muka bumi kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, walaupun menghadapi pelbagai halangan, dugaan dan cabaran namun Kerajaan Negeri Pahang dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tetap menyediakan Internet Jalur Lebar 4G menggunakan Satelit di 50 kawasan tersebut.
Katanya, ini bagi memastikan rakyat di pedalaman juga dapat menikmati internet lebih baik dan berkesan sekaligus memudahkan urusan seharian mereka.

“Usaha ini dilaksanakan sementara menanti semua projek Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 siap sepenuhnya dimana pada ketika itu kawasan pedalaman dan terpencil di seluruh negeri ini akan turut mendapat manfaat komunikasi dan internet,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan bersama pihak SKMM dan Bahagian Teknologi Maklumat (BTM) SUK Pahang berkenaan 50 kawasan yang terlibat dalam projek Internet Jalur Lebar Satelit ini di Wisma Sri Pahang, di sini.
Beliau juga meminta SKMM untuk berbincang dan memaklumkan wakil rakyat di 50 kawasan terbabit berkenaan usaha pemasangan Jalur Lebar Satelit di kawasan mereka serta mengambil maklum lokasi lain yang masih mengalami gangguan komunikasi.
“Saya berharap dengan pemasangan Internet Jalur Lebar Satelit di 50 kawasan terpencil ini, ianya akan membantu penduduk menikmati komunikasi untuk sementara waktu dikala menantikan Pelan Jendela Fasa 1 siap sepenuhnya,” katanya. – PAHANGMEDIA