Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 24 MEI 2022 : Wanita perlu mempersiapkan diri mengharungi cabaran kehidupan dengan meningkatkan taraf ekonomi termasuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, usaha berkenaan turut menerima sokongan daripada Kerajaan Pahang yang sering memberi perhatian terhadap kepentingan dan keperluan wanita khususnya di negeri ini.
“Peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai program wanita membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kaum wanita sejajar dengan dasar wanita negara adalah untuk membangunkan potensi dan mendayaupayakan wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam semua sektor sebagai agen perubahan kepada masyarakat.

“Ini kerana wanita juga bertindak sebagai penyumbang kepada penyumbang ekonomi dan sosial negara dan negeri khususnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Bicara Wanita dan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri 1443 Hijrah anjuran Puspanita Cawangan Negeri Pahang dan Teratai Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Amal Isteri Wakil Rakyat Pahang (Teratai) Datin Sri Dato’ Burhah Mohamed serta Pengerusi Puspanita Cawangan Negeri Pahang, Datin Sri Kamariah Mohamad.
Dalam pada itu, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza mengingatkan wanita agar mempersiapkan diri mengharungi cabaran hidup dengan meningkatkan ekonomi diri sendiri sebagai persediaan.
“Wanita perlu melihat kerjaya yang meningkatkan taraf ekonomi atau menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.
“Wanita juga perlu peka kepada perkembangan teknologi maklumat di mana ledakan teknologi tidak hanya bersosial di alam maya tetapi boleh digunakan sebagai medium untuk menambah pendapatan. Sebagai suri rumah juga tidak menjadi halangan asalkan ada kemahuan meningkatkan taraf kehidupan,” katanya. -PAHANGMEDIA