Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 21 MEI 2022 : Produk Tenun Pahang yang dipamerkan bersempena London Craft Week (LCW), di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London, United Kingdom baru-baru ini menerima sambutan yang amat menggalakan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kehadirannya ke Kota London juga memberi peluang untuk beliau melihat sendiri potensi istimewa Tenun Pahang di peringkat antarabangsa.

“Alhamdulillah, pameran yang diketuai sendiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj mendapat sambutan yang hangat dan terbaik.
“Saya dimaklumkan setiap hari ada kunjungan daripada golongan VVIP termasuk keturunan Diraja England pun datang untuk melihat tenun Pahang. Bagi saya ini adalah satu kejayaan dan kita harus meningkatkan lagi usaha untuk memartabatkan Tenun Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Aidilfitri DUN Kuala Sentul dan UMNO Maran di Felda Jengka 3, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu beliau turut optimis terhadap potensi produk-produk lain di negeri ini yang mampu dibawa dan berkembang di peringkat antarabangsa.
Sementara itu beliau turut menyentuh lawatan ke Frankfrut, Jerman yang bakal membawa pelaburan bagi industri karavan di negeri Pahang.
“Industri ini adalah pertama berkembang di Pahang di mana suatu masa nanti mereka boleh menginap dalam karavan sendiri yang mempunyai kemudahan bilik air, tempat memasak dan sebagainya.
“Usaha yang perlu dilakukan ialah menyediakan infrastruktur yang baik dan ini adalah perkara yang telah kita beri tumpuan kini melalui mesyuarat yang diadakan dan InsyaAllah ia akan dapat direalisasikan dalam sedikit masa lagi,” katanya.
Beliau turut optimis dengan sambutan terhadap industri karavan di negeri ini yang dilihat sesuai dan menepati keadaan dan perkembangan minat semasa. -PAHANGMEDIA