Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
CAMERON HIGHLANDS, 20 MEI 2022 : Jalan Pos Betau – Lembah Bertam yang menghubungkan Pekan Ringlet dan Sungai Koyan dijangka dapat dibuka semula bagi laluan semua kenderaan pada Julai ini.
Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor berkata buat masa ini hanya motorsikal yang diberikan kebenaran sahaja boleh melalui jalan berkenaan.

“Hari ini kita telah dapat taklimat daripada jurutera daerah Cameron Highlands dan Pegawai Daerah di mana kerja-kerja untuk menyambung laluan ini balik semula disebabkan runtuhan di laluan yang telah kita kenalpasti insyaAllah akan selesai dalam dua bulan ini.
“Kerja-kerja baikpulih akan dilaksanakan supaya komunikasi di antara Jalan Koyan ke Ringlet, Cameron Highlands dapat disempurnakan semula dan kenderaan bebas untuk melaluinya.
“Walaubagaimana pun, dalam masa dua bulan ini, kita hadkan hanya untuk motorsikal sahaja bagi memastikan mereka yang perlu melalui kawasan ini tidak terputus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika lawatan ke laluan FT102 Seksyen 18.650 – 19.650, Jalan Pos Betau – Lembah Bertam yang ditutup berikutan struktur jalan yang mendap di Seksyen 19.150.
Turut hadir, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Syed Ahmad Khairulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, dan Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Cameron Highlands, Tuan Noor Irwan Othman.
Tambah beliau lagi, orang ramai yang secara harian menggunakan laluan ini tidak perlu bimbang kerana pihaknya sentiasa memantau kemajuan projek supaya ia dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurut Jurutera Daerah, tempoh kerja pembaikan sepenuhnya laluan berkenaan adalah selama tujuh bulan.
“Kita akan membuka satu lorong semasa kerja-kerja pembaikan di buat. Jadi dalam tempoh dua bulan (selesai) untuk buka satu lorong. Kalau ikutkan tempoh kerja pembaikan adalah dalam tempoh tujuh bulan, pembaikan penuh,” katanya.
Laluan yang terjejas telah diarahkan tutup sepenuhnya oleh pihak JKR berkuatkuasa 30 April sehingga 30 Mei 2022 namun dilanjutkan sehingga Julai ini.
Orang ramai yang ingin ke Cameron Highlands boleh menggunakan laluan alternatif iaitu laluan dari Tapah ke Ringlet; laluan dari Simpang Pulai; atau laluan dari Gua Musang ke Lojing. -PAHANGMEDIA