Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika menerima kunjungan Pengurus Besar Division Perkhidmatan Korporat, Pengurusan Air Pahang (PAIP) Berhad, Encik Mohd Haniff Mohd Nor dan Penolong Operasi PAIP, Encik Muhammad Amirul Afiq Muzakir di Wisma Sri Pahang, semalam.

PAIP ANJUR PROGRAM CSR, TEMUI PENDUDUK JELAS USAHA ATASI MASALAH BEKALAN AIR

Oleh : Mahathir Ali

KUANTAN, 20 MEI 2022 : Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) melaksanakan beberapa program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi memberikan penjelasan serta penerangan kepada penduduk segala usaha yang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, PAIP akan melaksanakan beberapa program CSR bersama-sama kepimpinan dan penduduk terutama di lokasi yang mengalami masalah bekalan air di Daerah Pekan termasuklah di Dewan Negeri Bebar.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah PAIP berkata, melalui program ini pihak PAIP akan memberi penjelasan serta penerangan kepada penduduk berkenaan segala usaha yang akan dilaksanakan Kerajaan Pahang melalui PAIP Berhad bagi mengatasi masalah bekalan air di situ.

“Saya juga meminta pihak PAIP agar program CSR ini dapat dilaksanakan berterusan di seluruh Negeri Pahang di kawasan yang mengalami masalah bekalan air termasuklah di perkampungan Orang Asli untuk memberi penerangan yang lebih jelas dan tepat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Division Perkhidmatan Korporat, Pengurusan Air Pahang (PAIP) Berhad, Encik Mohd Haniff Mohd Nor dan Penolong Operasi PAIP, Encik Muhammad Amirul Afiq Muzakir di Wisma Sri Pahang, semalam.

Jelas beliau lagi, Kerajaan Pahang amat serius dalam mengatasi isu bekalan air di seluruh negeri ini dengan memperuntukkan sejumlah RM184.4 juta bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Malah katanya, Kerajaan Pahang juga akan meningkatkan kapasiti rizab pengeluaran di beberapa loji rawatan air di seluruh negeri, tahun ini dan semua peruntukkan ini membabitkan 70 projek baru demi memastikan rakyat Pahang mendapat bekalan air yang lebih baik dan sempurna. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram