YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menerima cenderahati daripada wakil CIVD selepas Majlis Menandatangani MoU antara Kerajaan Negeri Pahang bersama CIVD bagi pembangunan industri karavan di Pahang yang diadakan di Jerman, semalam.

PAHANG BAKAL BANGUNKAN INDUSTRI KARAVAN

Oleh : Fairus Mohd

JERMAN, 15 MEI 2022: Pahang bakal bangunkan industri karavan selepas delegasi pelaburan yang diketuai sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Caravaning Industry Association (CIVD) yang berpangkalan di Jerman bagi membangunkan industri pembuatan karavan di negeri Pahang.

CIVD adalah organisasi terkemuka yang mengumpulkan semua pengusaha pembuat karavan di Jerman.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama delegasi pelaburan menyaksikan Majlis Menandatangani MoU antara Kerajaan Negeri Pahang bersama CIVD bagi pembangunan industri karavan di Pahang yang diadakan di Jerman semalam.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, MoU ini yang dimeterai di Pejabat CIVD di Frankfurt, Jerman, semalam merangkumi pelaksanaan pembinaan taman karavan (Caravan Park), pusat pemasangan karavan (Caravan Assembly Plant), eko-sistem pembuatan caravan (Caravan Manufacturing Eco-System) serta pusat bekalan karavan untuk pasaran Asia Pasifik dan Australia (caravan supply center for Asia Pacific and Australia).

Beliau berkata, MoU ini jika direalisasikan mampu menarik pelaburan berjumlah lebih kurang RM500 juta daripada CIVD dan dijangka projeknya mula dilaksanakan pada penghujung tahun ini.

“Kerajaan Negeri Pahang akan memberi komitmen sepenuhnya bagi membangunkan industri karavan di negeri ini dan taman karavan ini akan beroperasi di lokasi strategik yang akan dikenalpasti kemudian.

“Kerajaan Negeri Pahang juga berkeyakinan penuh bahawa negeri ini mampu dijadikan hub pengeluaran karavan terkemuka di rantau ini. Tambahan pula, negeri Pahang sememangnya terkenal dengan industri pemasangan kereta jenama terkemuka dunia seperti Mercedes, Volkwagen, dan Isuzu di Taman Perindustrian Automotif, Pekan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Beliau sebelum itu menyaksikan Majlis Menandatangani MoU tersebut yang ditandatangani oleh YB Setiausaha Kerajaan Pahang Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak mewakili Kerajaan Negeri Pahang bersama dengan wakil daripada CIVD.

Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, YH Dato’ Saiful Edris Zainuddin; Pegawai Pelaburan Perniagaan Negeri, YH Dato’ Kamarul Arifin Ahmad; Pegawai Daerah Kuantan, YM Tengku Dato’ Nor Amaliza Ku Lah; Setiausaha Sulit Kanan Kepada YAB Menteri Besar Pahang, YH Dato’ Haji Md Yusli Ibrahim serta Setiausaha Bahagian, Bahagian Pelaburan dan Penswastaan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang, Puan Haslina Bahasan.

Manakala CIVD diwakili Encik Daniel Onggowiranso dan Encik Jost Kruger.

Beliau berkata, kerjasama strategik ini turut mendapat sokongan dan penglibatan daripada pihak East Coast Economic Region (ECER).

Menurut beliau, MoU ini merupakan titik penting bagi Pahang dan Jerman untuk memperkukuh kerjasama ekonomi khususnya membangunkan industri karavan yang berdaya saing di rantau ini sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan yang menarik dan kompetitif untuk warga tempatan.

“Saya amat berharap agar MoU ini dapat direalisasikan bukan sahaja bagi membangunkan industri baharu di Pahang tetapi juga menyumbang kepada hasrat kita untuk meningkatkan pelaburan asing ke negeri ini, sekali gus memastikan sasaran pelaburan berjumlah RM18 bilion di negeri Pahang pada tahun ini mampu dicapai,” katanya.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram