Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 12 MEI 2022 : Penyelenggara Lebuhraya Central Spine Road (CSR) diminta menyegerakan pembinaan kawasan rehat dan rawat (R&R) di kawasan berkenaan bagi keselesaan dan keselamatan pengguna.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata ini juga dapat menjana ekonomi penduduk sekitar kawasan berkenaan.
“…pelaksana projek ini perlu menyegerakan perancangan berkaitan kemudahan-kemudahan rehat dan rawat di sepanjang jalan CSR ini dan di kawasan bersesuaian.
“Ini bukan sahaja kita boleh membantu dari segi keselamatan dan juga keselesaan pengguna tapi ia juga membuka satu ruang perniagaan dan pembangunan ekonomi penduduk setempat. Jadi saya harap perkara ini perlu disegerakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika lawatan ke Lebuhraya Central Spine Road (CSR) di sini, hari ini.
Menurut beliau lagi, jumlah dan lokasi R&R yang dirancang dibina di laluan berkenaan bergantung kepada perbincangan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Buat masa sekarang saya belum mendapat satu angka yang jelas berapa R&R yang akan dicadangkan oleh PBT tapi sepanjang jajaran ini antara PBT terbabit adalah Majlis Perbandaran Bentong, Majlis Daerah Raub, dan Majlis Daerah Lipis.
“Jadi saya difahamkan lokasi-lokasi bersesuaian telahpun dikenalpasti tapi cadangan yang lengkap masih belum dibawa kepada saya lagi,” katanya.

Mengulas mengenai isu pembuangan sampah di laluan CSR oleh pengguna jalan yang tidak bertanggungjawab, beliau berkata pihak PBT perlu mengambil langkah segera menyediakan kemudahan seperti tong sampah di kawasan berkenaan.
“Kita nampak tempat yang menjadi tempat pembuangan sampah tersebut yang mereka jadikan tempat rehat mereka ketika melalui laluan CSR.
“Jadi pihak PBT perlu mengambil langkah segera menyediakan kemudahan yang selamat dan selesa kepada pengguna. Dan kepada pengguna juga sekiranya tiada tong sampah disediakan, mereka perlu membawa sampah dan dibuang selepas itu,” katanya.
Beliau dalam lawatan berkenaan turut meminta pihak berkenaan untuk membuat penyelengaraan kawasan disepanjang laluan bagi tujuan keselamatan dan keselesaan pengguna. -PAHANGMEDIA