Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH Dato' Mohd Zakaria Ibrahim (tengah) bersama Setiausaha Politik kepada YAB. Menteri Besar Pahang, YH Dato' Tajul Razi Abdul Aziz (dua dari kiri) memyampaikan sumbangan awal Kerajaan Pahang kepada mangsa banjir di Janda Baik

MANGSA BANJIR DI JANDA BAIK TERIMA BANTUAN AWAL

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

BENTONG, 11 MEI 2022 : Bantuan segera telah diberikan kepada 140 buah keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir di Janda Baik, awal pagi tadi.

Pegawai Daerah Bentong, Encik Khuzaidi Harun berkata, lawatan ke kawasan terjejas telah dilakukan dan bantuan daripada Kerajaan Negeri termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah diserahkan.

Bantuan awal kepada mangsa banjir di Janda Baik

“Kejadian banjir berlaku lebih kurang pada pukul 6 pagi tadi berikutan hujan lebat bermula pada pukul 4 pagi. Banjir ini melibatkan empat buah kampung terdiri daripada 140 buah rumah yang dihuni seramai 450 orang penduduk.

“Banjir surut dalam masa singkat, lebih kepada banjir kilat sahaja. Tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di kampung yang terlibat banjir iaitu Kampung Janda Baik, Kampung Sum Sum, Kampung Cheringin dan Kampung Chemperoh,” katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan anggaran kerosakan harta benda dan sebagainya masih dalam kiraaan.

Keadaan selepas banjir kilat di Janda Baik

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di Balairaya Kampung Janda Baik ketika melakukan lawatan ke tempat terjejas.

Turut hadir menyampaikan bantuan ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim, Setiausaha Politik kepada YAB. Menteri Besar Pahang, YH Dato’ Tajul Razi Abdul Aziz, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin serta Penghulu Mukim Bentong, Encik Mohd Khairun Abdullah.

Sementara itu Ketua Kampung Janda Baik, Encik Damuri Nusi, 62, berkata, kejadian yang berlaku pada awal pagi itu sememangnya mengejutkan namun dilalui dengan sabar dan tenang.

“Kejadian mula diketahui melalui maklumlan ni group WhatsApp Kampung sebelum mengarahkan semua yang berada di kawasan berisiko tinggi berpindah dahulu ke kawasan selamat.

“Air surut dengan cepat jadi penduduk dapat pulang ke rumah beberapa jam kemudian untuk lihat keadaan dan mencuci rumah. Memang sedih sebab sebelum ni dah kena banjir, tapi kena sabar dan redha lah,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram