KUANTAN, 11 MEI 2022 : “Junjung Kasih Tuanku.”
Itu ungkapan teristimewa dari seorang bekas banduan buat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj yang memberinya ‘kehidupan’ baharu sejak di dalam penjara iaitu kira-kira sembilan tahun lalu.
Bukan itu sahaja, Md. Ghafawi Mat Said, 52, turut diberikan pekerjaan tetap dan kini dibawa ke London bagi mempromosikan Tenun Pahang Diraja di London Craft Week yang berlangsung bermula semalam hingga 14 Mei ini.
Anak kelahiran Bentong, Pahang itu mula mengenali seni tenunan ketika di dalam penjara dan mula mempelajarinya sehingga menjadi salah seorang penenun yang mahir.
“Saya merasakan hidup saya telah mati apabila dipenjarakan. Namun, sangkaan saya meleset. Kehadiran KDYMM Permaisuri Agong saban hari di penjara memberikan sinar baharu untuk saya meneruskan kehidupan.
”Saya belajar bersungguh-sungguh untuk menenun. Saya perlu fokus, saya perlu mengira benang. Bayangkan sehari seinci kain sahaja mampu ditenun ketika itu. Demi Tuanku, saya mahu lakukan yang terbaik, ” katanya.
Md. Ghafawi antara 10 peserta mewakili Yayasan Tenun Pahang Diraja yang pengasasnya adalah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke London bagi menyertai pameran tersebut.
Md. Ghafaw menenun secara langsung di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London sepanjang acara itu berlangsung.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu merasakan hidupnya sangat bertuah kerana bukan calang-calang yang membantunya.
“Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong seorang yang berada pada kedudukan tertinggi dalam masyarakat. Tetapi Tuanku menganggap saya sama seperti orang lain meskipun saya hanya banduan.
“Orang sering memandang serong kepada banduan. Tetapi Tuanku mengajar, membimbing dan membekalkan semua keperluan untuk kami ketika di penjara.
“Saya diberi pekerjaan. Kini saya dibawa ke London. Nikmat apa lagi yang saya mahukan melainkan mendoakan semoga Tuanku sentiasa dalam perlindungan Allah SWT dan baik-baik sahaja,” katanya. – PAHANGMEDIA