Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ketika Pameran Tenun Pahang Diraja, sempena London Craft Week (LCW), di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London.

TANAH SELUAS 20 EKAR UNTUK PERKAMPUNGAN TENUN PAHANG

KUANTAN, 11 MEI 2022 : Kerajaan Pahang telah memperuntukkan tanah seluas 20 ekar berhampiran Penjara Penor untuk dijadikan Perkampungan Tenun Pahang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy dalam satu hantaran di Facebook berkata, Perkampungan Tenun ini akan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk perumahan.

Katanya, melalui inisiatif ini, banduan-banduan yang telah tamat menjalani hukuman akan memulakan hidup dengan menjalankan perniagaan tenun.

Selain itu katanya, Yayasan Tenun Diraja pula akan membantu banduan-banduan ini untuk memasarkan produk hasil tangan mereka.

Sementara itu beliau berkata, ketika ini sedang berlangsung Pameran Tenun Pahang Diraja, sempena London Craft Week (LCW), di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, London.

Pameran ini yang disempurnakan perasmiannya semalam oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj menonjolkan lebih 300 koleksi Tenun Pahang Diraja.

Yang menariknya 300 koleksi ini dihasilkan sendiri oleh banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong, Pahang termasuk pilihan pakaian Seri Paduka Baginda serta koleksi rekaan dan tenun peribadi baginda.

Justeru beliau berkata, sebagai anak Pahang, seharusnya berasa berbangga kerana keunikan dan kehalusan seni tenun Pahang telah dimartabatkan di persada dunia. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram