PROJEK TAMBAH BAIK JARINGAN AIR ROMPIN HAMPIR RM46 JUTA

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 09 MEI 2022 : Daerah Rompin bakal menikmati kemudahan jaringan liputan air yang lebih baik melalui projek yang dijalankan oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bernilai hampir RM46 juta.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sebanyak 13 projek telah dan sedang dijalankan di daerah ini merangkumi projek jaringan liputan air baharu Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

“Kali ini, mesyuarat berfokus saya bersama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) adalah membincangkan penyelesaian masalah bekalan air di daerah Rompin.

“Di Rompin, masalah utamanya ialah tekanan rendah dan terputus bekalan air ketika waktu puncak.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Justeru, melalui mesyuarat ini, saya ingin memaklumkan bahawa pihak PAIP telah memperuntukkan sebanyak RM26.6 juta bagi kerja-kerja pemasangan dan pembinaan pam serta tangki di 10 kawasan yang telah dikenalpasti,” katanya.

Beliau berkata projek BALB yang menelan belanja sebanyak RM19.4 juta juga akan diperluaskan ke beberapa kawasan kampung di Rompin.

“Selain itu, Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) juga akan diperluaskan di Kampung Air Batang, Tioman; Kampung Aur Seberang, Muadzam Shah; Kampung Baru, Muadzam Shah; dan Kampung Merlak. Projek-projek ini akan menelan belanja sebanyak RM19.4 juta.

“Semoga apa yang kita telah usahakan ini, membuahkan hasil yang akan memberikan manfaat sepenuhnya kepada rakyat di Pahang ini,” katanya.

Beliau berkata selepas ini daerah Pekan pula akan menjadi daerah kelima lokasi mesyuarat berfokus pihaknya dalam membincangkan dan mencari langkah penyelesaian isu air yang berlaku. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram