Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 05 MEI 2022 : Kerajaan Pahang menyalurkan bantuan kepada mangsa yang kehilangan kediaman akibat kebakaran pada Hari Raya Aidilfitri di Jeram Besu, Raub.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Talam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram berkata Kerajaan Pahang juga telah mencari kediaman sementara untuk mangsa berteduh.
“Dan untuk sementara waktu ini, mangsa telah kita tempatkan di chalet Jeram Besu dan kita dalam proses untuk mengenalpasti rumah sementara.
“Kita telah menghulurkan bantuan sementara dalam bentuk tunai dan juga barangan keperluan kepada mangsa yang juga baru sahaja kematian suami,” katanya.
Beliau berkata kediaman mangsa telah musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran pada 4 petang Hari Raya Aidilfitri lepas. -PAHANGMEDIA