KUANTAN, 3 MEI 2022: Kerajaan Pahang telah bersetuju bahawa cuti gantian kelepasan am sempena Hari Pekerja dibawa ke 4 Mei 2022.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, keputusan itu diambil selepas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengumumkan bahawa 1 Syawal 1443H iaitu Hari Raya Aidilfitri tahun 2022 jatuh pada 2 Mei 2022.
“Oleh yang demikian cuti gantian kelepasan am Negeri Pahang Darul Makmur sempena Hari Pekerja yang sepatutnya pada 2 Mei 2022 (Isnin) akan dibawa ke 4 Mei 2022 (Rabu),” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu juga diambil selaras dengan kenyataan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bahawa cuti ini juga tertakluk kepada keputusan Pihak Berkuasa Negeri.- PAHANGMEDIA