Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Cuti Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 Peringkat Negeri Pahang.

KENDERAAN DIJANGKA BERTAMBAH MASUK KE PAHANG MENJELANG ESOK

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

BENTONG, 29 APRIL 2022 : Keghairahan sambutan Aidilfitri yang berbaki beberapa hari sahaja lagi pastinya mengujakan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman masing-masing selepas dua tahun tidak dapat meraikan hari raya bersama keluarga tercinta.

Ekoran sambutan perayaan pada fasa endemik COVID-19 kali ini, Lebuhraya Pantai Timur kembali sesak seperti mana sambutan hari raya seperti tahun-tahun sebelum ini.

Seperti biasa, negeri-negeri Pantai Timur iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan pastinya menerima kepulangan anak kota yang ingin pulang beraya.

Bentong sebagai pintu masuk utama ke tiga negeri di Pantai Timur kini menerima jumlah kemasukan kenderaan yang agak tinggi dan dijangka bertambah menjelang esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Cuti Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 Peringkat Negeri Pahang.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman berkata, Kerajaan Pahang telah melancarkan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Cuti Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 Peringkat Negeri Pahang.

Kempen ini bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan dapat merancang perjalanan dengan baik bagi memastikan keselamatan di sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Sebahagian besar mereka yang lalu di sini pada hari ini ialah mereka yang ingin pulang beraya di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Perjalanan ke Kelantan itu mengambil masa yang sangat panjang jadi kita harap pemandu dapat merancang perjalanan mereka dengan baik supaya mereka mempunyai stamina yang cukup dan kenalpasti lokasi-lokasi yang bersesuaian untuk berhenti rehat,” katanya.

Hadir sama ialah Pengarah MITRANS, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Nasir Taib, Ketua Bahagian Penguatkuasaan JPJ Pahang, PPk Asmahanu Ibrahim dan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar.

Kempen anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Pahang dengan kerjasama Malaysia Institute of Transport (MITRANS) turut disertai oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pada pelancaran kempen itu, sebanyak 350 bag berisi makanan dan risalah kesedaran keselamatan jalan raya diedarkan kepada pengguna di Plaza Tol Bentong Timur.

Dalam pada itu, Superintendan Zaiham berkata, sebanyak 90 peratus pengguna jalanraya didapati mematuhi peraturan.

Jelasnya, kesemua pegawai dan anggota juga telah bersiap sedia sepanjang sambutan perayaan Aidilfitri bagi memastikan kelancaran Ops Selamat yang baharu sahaja dilancarkan di peringkat Kontijen Polis Pahang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram