YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada Guru-Guru Sekolah Agama Rakyat Negeri Pahang, di Dewan Utama Yayasan Pahang, hari ini.

81 ORANG GURU AGAMA RAKYAT TERIMA BANTUAN AIDILFITRI

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 29 APRIL 2022 : Seramai 81 orang guru Sekolah Agama Rakyat di negeri ini menerima bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM700 seorang.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia merupakan lambang pengorbanan dan rasa terima kasih kepada mereka yang bertanggungjawab terhadap pembangunan institusi pendidikan di negeri Pahang ini.

“Hari ini kita bagi RM700 bagi setiap guru agama sempena menyambut hari raya Aidilfitri, kita boleh bagi sumbangan ini kerana Kerajaan Negeri ada peruntukan kewangan yang agak baik.

“Penjawat awam di Pahang pun dapat RM1200, kita turut pertimbangkan dan luluskan untuk guru agama, jadi sempatlah untuk mereka berbelanja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada Guru-Guru Sekolah Agama Rakyat Negeri Pahang, di Dewan Utama Yayasan Pahang, hari ini.

Turut sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Ybhg. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Dalam pada itu, beliau berkata sesungguhnya pendidikan agama merupakan bidang paling penting dalam melahirkan modal insan yang bersahsiah dan berjati diri.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Pahang amat menitikberatkan soal pembangunan institusi dan pendidikan agama Islam bagi memastikan anak-anak di negeri ini mendapat akses pendidikan agama yang berkualiti bermula seawal usia kanak-kanak sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Pahang sebagai contohnya telah berjaya membangunkan Tadika Tahfiz, Sekolah Rendah Tahfiz dan Maahad Tahfiz bagi mendidik anak-anak kita dengan pendidikan agama yang berkualiti bagi membolehkan mereka ini menjadi seorang huffaz, qari atau qariah serta mampu menjadi peneraju dalam bidang-bidang profesional pada masa hadapan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri turut berjaya menubuhkan institusi pendidikan tinggi berteraskan pendidikan Islam iaitu Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah atau UNIPSAS.

Bermula dengan peranan Institusi Diraja Pahang di awal penubuhannya pada tahun 1996 serta komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan Pahang, menjadikan UnIPSAS terus berkembang maju dalam menyediakan perkhidmatan pengajian tinggi yang terbaik di negara ini.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa pada usia 25 tahun penubuhan UNIPSAS, ia telah mendapat sokongan yang baik daripada masyarakat serta berjaya menawarkan program pengajian yang mendapat permintaan dan mempunyai nilai kebolehpasaran graduan yang tinggi.

Sementara itu pada majlis sama Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM263,700 sebagai Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada semua anggota kerja UnIPSAS di mana 42 peratus daripadanya merupakan mereka yang berada dalam kategori B40. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram