Oleh: Mahathir Ali
KUANTAN, 29 APRIL 2022 : Kerajaan Pahang terus menghargai usaha gigih dan pengorbanan ketua kampung termasuk dengan menyampaikan sumbangan Bantuan Khas Aidilftri kepada 62 Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi Daerah Kuantan.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini.

YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata, bantuan ini merupakan penghargaan dari Kerajaan Pahang kepada semua JPKK di negeri ini agar mereka juga dapat meraikan Aidilfitri dengan lebih meriah.
Katanya, YAB Menteri Besar memahami penat lelah, usaha gigih dan pengorbanan JPKK selama ini terutama ketika pandemik COVID-19 dan banjir yang melanda negeri ini.
“YAB Menteri Besar juga menghargai kesetiaan semua JPKK yang terus bersama Kerajaan Negeri dikala susah atau senang. Kerana itu, YAB Menteri Besar kita mengambil inisiatif memberikan Bantuan Khas Aidilfitri ini berjumlah RM500 seorang.

“Hari ini dimana-mana juga diperkatakan berkenaan keupayaan dan kebaikan Kerajaan Pahang dalam membela nasib rakyat. Ramai yang menganggap Kerajaan Pahang paling terbaik hari ini menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Justeru itu, beliau berharapkan semua JPKK terus istiqamah dalam perjuangan dan terus melakukan kebaikan kepada semua penduduk tanpa mengira fahaman politik dan latar belakang.
“Curahkan kasih sayang sesama kita. Genggamlah erat tangan-tangan kita, kukuhkan perpaduan, muafakat dan bincanglah dari hati ke hati demi kebaikan semua pihak. Yang muda hormatilah yang tua manakala yang tua mengasihi yang muda,” katanya. – PAHANGMEDIA