Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 28 APRIL 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat menziarahi empat mangsa kebakaran di Jalan Permatang Badak Perdana 2, Kuantan, kira-kira jam 3 pagi tadi.
Ketibaan baginda pada jam 3.15 petang itu turut diiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus, kesemua empat mangsa kini berada dalam keadaan kritikal di mana tiga daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan dengan tahap kelecuran 70 hingga 90 peratus.
“Ekoran daripada kejadian kebakaran yang berlaku pagi tadi di sebuah rumah di Jalan Permatang Badak Perdana 2, Kuantan, seramai tujuh orang mangsa telah terlibat, di mana seorang adalah kanak-kanak berumur 2 tahun yang meninggal di tempat kejadian manakala dua lagi dirawat sebagai pesakit luar hanya mengalami luka biasa sahaja.
“Manakala empat daripadanya agak kritikal dan masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, di mana tiga daripadanya sangat kritikal sebab mereka memerlukan alat bantuan pernafasan dan masih tidak sedarkan diri sehingga sekarang dan seorang lagi masih sedarkan diri tetapi semi kritikal dan mengalami kepatahan tulang muka dan tulang peha kerana terhempap dengan dinding rumah,” katanya.
Dalam kejadian kebakaran tersebut melibatkan dua rumah berkembar separuh kekal dengan masing-masing hangus 90 peratus dan 100 peratus.
Turut terjejas dalam kebakaran berkenaan ialah tiga kenderaan dengan satu daripadanya hangus sepenuhnya.
Pasukan bomba telah menerima panggilan pada jam 3.15 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera dan sembilan anggota bomba Taman Tas dan turut dibantu oleh pasukan bomba Kuantan dan Indera Mahkota dengan 10 anggota. – PAHANGMEDIA