Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 28 APRIL 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar peranan masjid sebagai institusi perpaduan dan pusat sosial yang prihatin dapat dihidupkan seiring amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Selain itu, titah baginda, masjid juga perlu menjadi sebagai tempat rujukan dan menyantuni masyarakat terutamanya bagi golongan yang memerlukan.
“Pegawai dan jawatankuasa masjid mesti proaktif, carilah kariah yang memerlukan bantuan dan bukannya menunggu mereka untuk mencari kita di masjid. Kenalpasti siapa mereka dan salurkan bantuan segera tanpa sebarang proses birokrasi yang menyusahkan.
“Sumbangan yang masjid terima jangan pula hanya disimpan sebaliknya dibelanjakan dengan sebaik mungkin untuk membantu yang memerlukan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat Dan Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan Yang Memerlukan bertempat di Masjid Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah, FELDA Bukit Sagu 1 di Kuantan.

Hadir sama YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri Kewangan 1, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri. Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Md Sohaimi Mohamed Shah dan Sahibus Samahah Mufti Negeri, YH. Dato’ Sri Dr. Haji Abdul Rahman Haji Osman.
Pada majlis sama, KDYMM Pemangku Raja turut mengurniakan sumbangan zakat bagi membiayai kos rawatan dialisis selama setahun kepada empat penerima, bantuan rawatan perubatan kepada dua penerima dan bantuan membaikpulih rumah juga kepada dua penerima.
Baginda turut menyempurnakan simbolik penanaman pokok di pekarangan masjid berkenaan sebagai usaha menggalakkan semua rakyat sekitar untuk menyokong usaha baginda dalam menghijaukan alam sekitar. – PAHANGMEDIA