Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 27 APRIL 2022 : Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) menandatangani perjanjian lanjutan selama 18 tahun bersama KOSFARM Sdn Bhd bagi menaiktaraf kilang Wujud Wawasan Sdn Bhd bermula tahun ini.
Dalam perjanjian ini, sebanyak RM11 juta akan dibelanjakan bagi menaiktaraf kilang yang terletak di Muadzam Shah dalam tempoh 18 tahun akan datang bagi penghasilan buah sawit di ladang KOSMA.
Perjanjian ditandatangani oleh Pentadbir KOSMA, Encik Zahari Abdul Aziz diiringi YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Tuan Saiful Edris Zainuddin; manakala KOSFARM Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Eksekutif Kumpulan, YH. Dato’ Sri Kamaruddin Mohammed diiringi Pengarah Urusannya, Encik Tee Cheng Hua.

Turut menyaksikan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’Sri Dr. Sallehuddin Ishak; dan Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Operasi Far East Holdings Berhad, YH. Dato’ Asmin Yahya.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata berdasarkan perjanjian terdahulu yang dimeterai pada 2005 sebuah syarikat tujuan khas iaitu Wujud Wawasan Sdn Bhd telah diwujudkan.

“Perjanjian ini diteruskan di mana sebelum ini telah ada perjanjian bersama ini kerana prestasi baik dan tiada masalah. Oleh itu Kerajaan Negeri tidak ada masalah untuk menyambung perjanjian.
“Saya berharap prestasi dapat ditingkatkan terutama dalam penghasilan buah, penjimatan kos dan sebagainya. Walaupun prestasi sekarang dah baik, kita harap dapat dipertingkatkan lagi di masa hadapan,” katanya.
Dalam majlis sama, satu majlis menandatangani perjanjian ejen pengurusan ladang turut dimeterai diantara KOSMA bersama Budi JS Plantation Management Sdn Bhd. -PAHANGMEDIA