Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 26 APRIL 2022 : Jalan Pos Betau – Lembah Bertam yang menghubungkan Pekan Ringlet dan Sungai Koyan akan ditutup buat sementara waktu selama sebulan bermula 30 April ini.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands dalam satu kenyataan media memaklumkan penutupan jalan ini melibatkan semua pengguna jalan raya.
Laluan FT102 Seksyen 18.650 – 19.650, Jalan Pos Betau – Lembah Bertam ini akan ditutup berkuatkuasa 3 petang 30 April ini sehingga 30 Mei 2022 berikutan struktur jalan yang mendap di Seksyen 19.150.
Orang ramai yang ingin ke Cameron Highlands boleh menggunakan laluan alternatif iaitu laluan dari Tapah ke Ringlet; laluan dari Simpang Pulai; atau laluan dari Gua Musang ke Lojing.
JKR Cameron Highlands berkata penutupan jalan secara sementara pada tempoh yang ditetapkan adalah perlu demi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya pada masa hadapan.
Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya merancang terlebih dahulu waktu perjalanan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sebelum penutupan laluan ini dikuatkuasakan. -PAHANGMEDIA