Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 26 APRIL 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan zakat daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 10 asnaf.
Baginda berkenan mengurniakan sumbangan tersebut sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat Dan Pengurniaan Sumbangan Kepada Golongan Yang Memerlukan bertempat di Masjid Saidina Ali Bin Abi Talib di Bukit Sekilau, Kuantan.

Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Sumbangan tersebut termasuklah bantuan bagi membina rumah baharu kepada tiga penerima berjumlah RM143,000 dan bantuan baik pulih rumah berjumlah RM18,600.
Manakala dua penerima pula mendapat bantuan peralatan berjumlah RM16,050, bantuan alat pendengaran kepada dua penerima berjumlah RM12,800, bantuan rawatan/perubatan berjumlah RM18,800 dan bantuan kerusi roda berjumlah RM680.
Pada majlis sama, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada golongan asnaf dan menyempurnakan majlis penanaman pokok di pekarangan masjid berkenaan. – PAHANGMEDIA