Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUALA LUMPUR, 24 APRIL 2022 : Sebanyak 450 tangki statik tambahan dibekalkan ke seluruh negeri ini oleh Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) sebagai persediaan menghadapi perayaan Aidilfitri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata tangki statik merupakan tambahan daripada 800 tangki statik sedia ada.
“Tong air (tangki statik) ini akan dibekalkan ke kawasan-kawasan yang dijangka akan mengalami gangguan bekalan air sama ada terputus bekalan atau bertekanan rendah ketika musim puncak seperti hari raya ini.
“Saya dimaklumkan setiap tong air ini memiliki kapasiti 200 milimeter dan 400 milimeter setiap satu dan akan ditempatkan berdasarkan jumlah pengguna. Tangki kecil yang 200 milimeter mungkin kita akan letak di kawasan yang ada dua, tiga buah rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika Taklimat Penambahbaikan Sistem Bekalan Air Daerah Jerantut di Hotel Corus di sini.
Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; Pengarah Kemeterian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), YH. Dato’ Mohd A.Aruwan Ab Aziz; Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris; dan Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Tuan Saiful Zaini Mohd Bokhari.
Beliau berkata pengagihan tong air ini merupakan tindakan alternatif pihak PAIP sekiranya berlaku gangguan bekalan air namun demikian tindakan jangka masa panjang bagi mengatasi sebarang masalah bekalan air sedang dan telah dijalankan.
“Ini bukanlah jalan singkat bagi mengatasi masalah air yang berlaku tapi ini cuma backup plan sekiranya berlaku sebarang gangguan semasa musim perayaan,” katanya.
Tambah beliau lagi, penghantaran tangki statik ke kawasan yang dikenalpasti akan dilakukan pada minggu ini oleh pihak PAIP.
“Saya difahamkan tong-tong air ini akan ditempatkan di kawasan terlibat bermula minggu ini iaitu seminggu sebelum raya dan seminggu selepas raya,” katanya. -PAHANGMEDIA