Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG AJAK ANAK MUDA LESTARIKAN ALAM SEKITAR

Oleh : Fansurina Abdullah
 
KUANTAN, 22 APRIL 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengajak anak muda untuk bersama-sama melestarikan alam sekitar bersempena sambutan Hari Bumi yang disambut pada setiap 22 April di seluruh dunia.
 
Menerusi satu kenyataan media sempena Hari Bumi 2022, KDYMM Pemangku Raja Pahang bertitah, sambutan Hari Bumi tersebut bertujuan mempelbagaikan, mendidik dan memacu gerakan kelestarian alam sekitar di seluruh.
 
“Biar pun kesedaran dan keprihatinan alam sekitar semakin meluas berlaku secara dramatik sejak lima dekad lalu, namun kegiatan manusia terus berleluasa sehingga merosakkan jaringan hidup yang menjadi pergantungan kita untuk mendapatkan sumber makanan, sumber air, udara bersih dan sebagainya.
 
“Berdasarkan penilaian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2019, dianggarkan 60 peratus perkhidmatan ekosistem semulajadi semakin terancam dengan ketara, yang mana ancaman kepupusan sejuta spesies flora dan fauna akan berlaku menjelang 2050,” titah baginda.
 
Baginda bertitah, pelbagai persidangan dan kerangka tindakan dirancang sejak 1992 bagi memulihara kepelbagaian biodiversiti, penggunaan komponen yang lebih lestari dan akses untuk memanfaatkan sumber genetik secara bersama.
 
Pada tahun 2022, komuniti antarabangsa sedang merangka sasaran dekad baharu menerusi UN Global Biodiversity Framework yang menetapkan pelan besar meliputi tindakan mentransformasikan masyarakat agar menyantuni alam sekitar di mana perundingan akan bermula pada Jun depan di Nairobi, Kenya.
 
Menerusi kenyataan media itu juga, baginda turut menyeru agar satu tindakan segera dan perancangan jangka panjang perlu diwujudkan bagi mengatasi kehilangan sumber kepelbagaian biodiversiti, perubahan iklim dan ketandusan tanah.
 
“Kita perlu melakukan perubahan bersifat transformasi bukan sahaja dari segi minda, malah dalam setiap aspek kehidupan bagi memastikan bumi dapat dilestarikan sebaiknya.
 
“Kerajaan, institusi perniagaan dan kewangan, pertubuhan bukan kerajaan dan setiap warganegara perlu tampil untuk memulihkan kerosakan alam semulajadi dan perubahan iklim,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram