Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
BENTONG, 22 APRIL 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar peluang yang masih ada pada bulan Ramadan ini dimanfaat sebaik mungkin dengan mengimarahkan masjid dan surau yang ada.
Titah baginda, pelbagai bentuk manfaat yang ada di masjid malah jika tadbir urusnya berjalan dengan lancar dan cekap, maka kewujudan sesebuah masjid ini dapat memberi kebaikan maksima kepada setiap insan yang hadir di dalamnya.

“Saya menyeru kepada semua ibu bapa agar memanfaat peluang pada bulan Ramadan ini.. bawalah anak-anak ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah, berterawih dan gandakanlah amal ibadat kita lebih-lebih lagi pada sepuluh malam terakhir Ramadan ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Baru Bandar Karak dinamakan sebagai Masjid As-Salam dan juga majlis berbuka puasa, di sini.
Pada majlis sama, baginda juga berkenan menyampaikan zakat kepada asnaf seramai 110 orang penerima dan menyampaikan kurniaan sepuluh buah komputer riba kepada asnaf.

Masjid As-Salam ini mula dibina pada 23 Julai 2015 dan siap pada 8 November 2016 dengan kos sebanyak RM5 juta di mana ia diselaras oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Kapasiti masjid boleh memuatkan 350 orang jemaah pada satu-satu masa dan masjid ini juga telah ditambah nilai oleh Majlis Perbandaran Bentong dengan kos sebanyak RM700,000.
Hadir sama ialah YAM Tengku Panglima Raja, Tengku Amir Nasser Ibrahim Ibni Almarhum Tengku Arif Bendahara Ibrahim, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak serta Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Haji Abdul Rahman Hj Osman.

Dalam pada itu, baginda bertitah agar kekuatan umat Islam dalam penyatuan dan muafakat dapat mengelak perpecahan dan permusuhan yang menjadi punca kelemahan.
“Masjid amat sinonim sebagai pusat sehenti atau one stop centre kepada umat Islam pada zaman Rasulullah SAW. Masjid yang ditadbir urus dengan ilmu dan amal pasti mampu memupuk kesatuan umat Islam yang utuh.
“Pihak masjid perlu melakukan jalinan usaha sama yang proaktif melibatkan masyarakat setempat dan NGO supaya segala perancangan keagamaan dapat dijayakan,” katanya. – PAHANGMEDIA