KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berbuka puasa bersama rakyat jelata di Padang MBK 1, Kuantan hari ini.

KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG, RAJA PERMAISURI AGONG BERKENAN BUKA PUASA DI PADANG MBK 1

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 20 APRIL 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat ke Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, di Jalan Mahkota hari ini.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan membeli juadah berbuka puasa di Bazar Ramadan Mahkota Square, Kuantan hari ini.

Ketibaan baginda pada 6.30 petang turut diiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj bersama anakanda-anakanda baginda.

KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan membeli juadah berbuka di Bazar Ramadan Mahkota Square, Kuantan hari ini.

Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; dan isteri, YABhg. Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed; Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin; Ketua Polis Pahang, YDH CP Datuk Ramli Mohamed Yoosuf; dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan mengagihkan bubur lambuk kepada rakyat jelata di Padang MBK 1, Kuantan hari ini.

Baginda berdua berkenan melawat sekitar bazar Ramadan di Mahkota Square sejurus tiba dan turut membeli juadah berbuka antaranya pulut panggang, sotong bakar, piza, dan ayam goreng.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan beramah mesra bersama rakyat jelata sebelum berbuka puasa di Padang MBK 1, Kuantan hari ini.

Baginda berdua kemudiannya turut berkenan mengagihkan kira-kira 1,000 bekas bubur lambuk yang dimasak sendiri oleh KDYMM Raja Permaisuri Agong di Istana Abdul Aziz hari ini kepada orang ramai yang datang berbuka puasa di padang awam ini serta pengunjung bazar Ramadan.

KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan beramah mesra bersama rakyat jelata sebelum berbuka puasa di Padang MBK 1, Kuantan hari ini.

Baginda berdua turut meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat jelata yang memenuhi kawasan padang MBK 1 yang terletak berhampiran Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 sementara menanti waktu untuk berbuka puasa.

Tradisi berbuka puasa bersama orang ramai di padang MBK 1 ini merupakan amalan tahunan baginda sekeluarga setiap kali Ramadan namun dihentikan sementara pada 2020 dan 2021 disebabkan penularan wabak COVID-19. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram