Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Ybhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari

PAIP KOMITED TERUS SELESAI ISU AIR

Oleh : Fairus Mohd

KUANTAN, 20 APRIL 2022 : Keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap masalah air di negeri ini menjadi pemangkin untuk Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) meneruskan usaha menyelesaikan setiap isu yang timbul.

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Ybhg. Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, beberapa projek mega kini di dalam perancangan dan perlaksanaan dan ia direalisasikan dengan semangat dan sokongan yang diterima.

“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang kerana menjadi tunjang untuk PAIP menyelesaikan permasalahan malah setiap minggu beliau sendiri turun menghadiri Mesyuarat mahupun meninjau kawasan yang terlibat.

“Kita juga sudah ada senarai kawasan– kawasan hotspot (masalah air) jadi apabila dan setiap minggu kita ada mesyuarat khas di mana team saya melakukan kerja 24jam sehari termasuk hari minggu bagi menyelesaikan masalah-masalah air yang ada. Tahniah kepada semua kakitangan PAIP yang komited terhadap tugas masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di wawancara dalam program bualbicara DSSS Bikin Panas bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, semalam.

Sementara itu beliau turut berkongsi perancangan akan datang di mana projek paling besar kini dirancang di daerah Kuantan melibatkan pembinaan loji dengan kapasiti 400MLD di mana ia adalah loji yang terbesar di Pantai Timur.

“Ia memberi kestabilan penyaluran air bagi Kuantan dan Gebeng yang merupakan kawasan perindustrian melibatkan banyak pelaburan,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga sudah maklum berkenaan loji-loji air di negeri ini yang sudah lama tidak dinaiktaraf.

“Sekarang kita lebih agresif tapi ia mengambil masa kerana ada banyak perkara yang perlu disusun dengan baik dan teratur.

“Kita juga sedang dalam perbincangan berkenaan untuk mendapatkan peruntukan yang besar bagi menukar paip-paip lama yang digunakan sejak dulu. Ia juga sudah di pengetahuan Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram