Oleh: Mahathir Ali
KUANTAN, 20 APRIL 2022 : Perkhidmatan internet dan komunikasi di kawasan Inderapura 2 di sini serta persekitarannya kini telah ditambah baik dengan siapnya satu struktur pemancar Dwi Fungsi di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, struktur ini menyediakan perkhidmatan talian Digi dan Maxis.
“Alhamdulillah, laporan ini saya diterima daripada Pengarah Negeri SKMM Pahang, Tuan Haji Faisal Md Nor yang memaklumkan struktur pemancar ini adalah tiang telekomunikasi jenis Dwi Fungsi (lamp pole) setinggi 30 meter yang dibina berikutan daripada aduan yang diterima berkenaan masalah liputan kawasan tersebut pada November tahun lepas.
“Lanjutan daripada aduan itu, saya sendiri selaku Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang dengan SKMM Pahang dan pihak telco yang bersama-sama YB. Dato’ Sri Haji Shafik Fauzan, Ahli Dewan Negeri (ADN) Inderapura telah turun padang dan meninjau kawasan aduan dan sekitarnya pada 2 November 2021,” katanya.
Beliau berkata, kawasan DN Inderapura ini adalah kawasan yang berkepadatan tinggi dan ianya termasuk didalam kawasan komersial dimana pembinaan struktur komunikasi adalah dibawah tanggungjawab dan pembiayaan syarikat telcos sendiri.
Justeru beliau mengucapkan terima kasih kepada SKMM Pahang yang berusaha menyelaras pelaksanaan ini dan syarikat telco terlibat yang mengambil berat dan bertanggungjawab serta memainkan peranan masing-masing bagi memastikan pengguna talian mereka mendapat perkhidmatan yang setimpal dengan bayaran perkhidmatan diberikan.
“Dengan adanya struktur pemancar ini, Insyallah akan dapat memberi perkhidmatan lebih baik kepada penduduk di kawasan Inderapura dan sekitarnya khususnya menjelang hari raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi,” katanya. – PAHANGMEDIA