Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 20 APRIL 2022 : Kerajaan Pahang sangat prihatin dalam membantu dan memahami keluh kesah rakyat terutamanya dalam memastikan kebajikan mereka terus terjaya.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, setiap hasil Kerajaan Negeri yang diperolehi akan dipulangkan semula kepada rakyat agar semua rakyat dapat berkongsi rezeki demi kemakmuran dan kesejahteraan bersama.
Katanya, Kerajaan Negeri Pahang telah mengumumkan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) bagi tahun 2022 berjumlah hampir RM30 Juta yang akan memberi manfaat kepada hampir 300,000 orang penerima.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar bersyukur dan bangga kerana FAMA Negeri Pahang dengan usahasama strategik bersama Bank Rakyat memilih Kampung Padang Rumbia yang terletak di Bebar untuk penganjuran Jelajah Ramadan 2022.
Beliau difahamkan program Jelajah Ramadan FAMA ini diadakan setiap tahun malah FAMA telah banyak menabur jasa membantu para petani dan penternak di Pekan ini terutamanya dalam usaha memasarkan hasil mereka.
Katanya, FAMA juga banyak melakukan kerja amal kebajikan seperti membantu fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan sebagainya. – PAHANGMEDIA