Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 19 APRIL 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran Sempena Sambutan Nuzul Quran dan Bacaan Tahlil Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj di sini.

Mengiringi Seri Paduka Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat, YAM Tengku Panglima Raja Lt. Kol. Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; dan YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mua’adzam Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah; serta kerabat DiRaja Pahang.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Mufti Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr.Haji Abdul Rahman Haji Osman; dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Majlis dimulakan dengan bacaan khatam Al-Quran yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Tuan Haji Mohd Khalil Mohd Zari, dan kemudiannya disusuli tahlil dan doa oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ceramah Nuzul Al-Quran yang disampaikan oleh Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan, YH. Dato’ Haji Badlishah Alauddin.
Baginda seterusnya turut berkenan mengurniakan saguhati kepada tiga buah masjid yang paling banyak khatam Al-Quran iaitu Masjid Sultan Mahmud, Lipis; Masjid Assyakirin, Maran; dan Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut.
Baginda berdua turut berkenan berbuka puasa, seterusnya menunaikan solat Maghrib, Isyak, serta solat Tarawih secara berjemaah di masjid berkenaan. -PAHANGMEDIA