Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 18 APRIL 2022 : Universiti Malaysia Pahang (UMP), RTM dan Kerajaan Pahang menyantuni penduduk Nenasi sempena sambutan 20 tahun UMP dan 76 tahun RTM yang bertujuan merapatkan silaturrahim pada bulan Ramadan.
Pelbagai aktiviti telah diaturkan sepanjang program antaranya kenduri rakyat, memasak bubur lambuk, memasak laksa Gebok, sumbangan makanan untuk penduduk, sumbangan anak pokok nanas percuma, ceramah agama, vaksinasi dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, UMP juga menyumbang alat Solar Mobile untuk kegunaan Masjid Nenasi dalam membantu memudahkan urusan semasa ketiadaan letrik ataupun ketika menyempurnakan urusan di tanah perkuburan yang gelap jika malam hari.
Katanya lagi, beliau turut menyampaikan sumbangan cek peruntukkan Kerajaan Negeri dan bantuan wang tunai yang diluluskan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail untuk lapan penerima bagi tujuan baik pulih rumah, baik pulih Tabika Kemas, rawatan perubatan dan bantuan pendidikan anak-anak.
“Kesemua ini dapat dilaksanakan kerana kestabilan politik di negeri Pahang kita ini berada pada tahap yang amat baik sekali. Semua pihak terlibat, sama ada mewakili Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri dan Swasta telah dapat bersama-sama berperanan dan berganding bahu bagi membantu masyarakat serta menyinari Ramadan ini dengan kerja-kerja amal dan kebajikan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berharap pada masa akan datang lebih banyak lagi program dan kerjasama seperti ini dapat dilakukan dan Kerajaan Pahang akan terus memberi kerjasama yang sebaik mungkin dalam apa jua aktiviti dan program yang akan dilaksanakan nanti. – PAHANGMEDIA