Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (Pratikal) & Muhammad Shamim Aiman Shafiq Fauzan (Pratikal)
KUANTAN, 12 APRIL 2022 : YAB Menteri Besar Pahang menyifatkan Ekspo Mega Raya Bazar Aidilfitri Dataran Sekilau sebagai satu perniagaan yang dinamik.
YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau teruja dengan kepelbagaian yang ditawarkan di bazar berkenaan.

“Saya dapati memang tapaknya sangat baik, sangat sesuai, ramai pengunjung, dan serba serbi boleh dikatakan ada di sini. Kedai makan, songkok, baju, semua adalah.
“Jadi saya pun teruja sebenarnya melihat ini. Dan saya dapati perniagaan ini dinamik. Mereka bolehlah untuk mencari makan dan sebagainya.
“Lokasi baik, susun atur baik, kemudian dia tidak berapa jauh, parking pun mudah, jadi itu sebabkan orang ramai datang ke sini. Makanan pun sedap. Saya try banyak benda juga ni. Semua sedap-sedap belaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika menyantuni golongan peniaga dan pengunjung di Ekspo Mega Raya Bazar Aidilfitri Dataran Sekilau malam tadi.
Beliau berkata pihaknya juga telah menerima permintaan berkaitan kadar sewa bazar oleh para peniaga di bazar ini.
“Kadar sewaan agak tinggi sedikit, ia ada kaitan dengan pandemik COVID-19 ini dan kebetulan bersama dengan saya Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin, dan saya telah minta Datuk Bandar supaya beri pertimbangan sehabis baik kerana mungkin rayuan mereka ada dasarnya juga.
“Datuk Bandar akan meneliti dan mengkaji perkara ini dan saya percaya Datuk Bandar akan buat keputusan yang baik untuk kepentingan semua pihak,” katanya.
Beliau berada di tapak bazar berkenaan selama hampir dua jam dan turut meluangkan masa untuk merasmikan bazar Aidilfitri berkenaan sebelum beramah mesra dengan pengunjung yang ada. – PAHANGMEDIA