Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
TEMERLOH, 8 APRIL 2022 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat merasmikan masjid baharu di Kampung Rantau Panjang di Lanchang yang dinamakan Masjid Asy-Syakirin.
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.

Sehubungan itu, baginda menyeru agar sistem pengurusan masjid yang diterajui jawatankuasa dan pegawai masjid agar dapat menerapkan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG).
“Prinsip ini bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya ESG merupakan prinsip yang selari dengan amalan Islam sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 60,” titah baginda.
Masjid Asy-Syakirin telah disiapkan sepenuhnya pada 31 Mac 2016 dengan peruntukan RM1.5 juta dan mampu memuatkan seramai 350 jemaah pada satu-satu masa.
Baginda turut mengingatkan jawatankuasa dan pegawai masjid supaya dapat mendekati masyarakat setempat kerana melalui ukhwah yang erat maka lebih mudah untuk mentarbiahkan masyarakat.
KDYMM Pemangku Raja Pahang juga amat mengharapkan penglibatan ahli kariah dan golongan belia dalam program-program kerohanian masjid agar golongan itu menjadi modal insan berkepimpinan yang bersahsiah tinggi.
Baginda juga meminta agar kemudahan dan fasiliti masjid yang disediakan dapat dijaga dengan baik dan meningkatkan tahap kebersihan di setiap sudut masjid.
Pada majlis sama baginda turut mengurniakan sumbangan dan bantuan kepada 100 asnaf serta sumbangan 10 buah komputer riba kepada pelajar golongan asnaf. – PAHANGMEDIA