Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan (Praktikal)
KUANTAN, 7 APRIL 2022 : Seramai 64 anak-anak yatim daripada Akademi YASA-MUIP diraikan pada satu majllis berbuka puasa yang dianjurkan oleh Hotel Grand Darul Makmur (GDM) bagi memberikan kegembiraan kepada mereka menyambut Ramadan pada tahun ini dalam suasana endemik COVID-19.
Pengurus Besar Hotel Grand Darul Makmur, Encik Fariz Victor berkata, majlis seumpama ini dapat mengeratkan ukhwah dan silaturrahim antara kakitangan hotel bersama masyarakat dan rakan kerjasama strategik untuk meraikan anak-anak yatim.
“Saya berharap majlis ini akan dapat memberikan senyuman kepada anak-anak yatim pada bulan mulia untuk sama-sama berkongsi kegembiraan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Anak Yatim dan Miskin Akademi YASA-MUIP di Bufet Citarasa Selera Kampung di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsudin, Yang di-Pertua Persatuan Kebajikan Anak Yatim Pahang (PEKAYA), YB. Dato’ Sri Haji Ishak Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), YH. Dato’ Ahmad Hairi Hussain.
Jelasnya, ibadah puasa bukan sekadar memenuhi tuntutan agama tetapi juga untuk menginsafi golongan yang kurang bernasib baik.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bufet Citarasa Selera Kampung turut menyediakan 100 jenis menu masakan kampung termasuklah Kambing Golek Warisan Turun Temurun, Sup Ekor Jawa, Asam Pedas Claypot Kota Laksamana, Nyonya Curry Laksa, Ayam Panggang Maharani, aneka Dim Sum dan hidangan popular Squid Salted Egg, Butter Prawn Nestum dan banyak lagi.
Selain berbuka puasa, orang ramai turut dihidangkan dengan aktiviti kerohanian termasuklah bacaan ayat suci Al-Quran, solat Maghrib dan Terawih secara berjemaah.
Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan boleh hubungi talian 09-5118888 sambungan 8536 atau whatsapp 012-6134991. – PAHANGMEDIA