Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (Praktikal)
KUANTAN, 7 APRIL 2022 : Yayasan Pahang (YP) dengan kerjasama Beyond4 berhasrat membantu graduan Pahang mendapatkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk menaiktaraf kehidupan golongan terbabit bersesuaian dengan kerjaya mengikut kelulusan mereka.
Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Tuan Haji Abd Razak Abu Musa Saari berkata, Yayasan Pahang telah menyediakan peruntukan bagi program yang telah dirancang bersama Beyond4 dalam usaha memastikan jaminan pekerjaan kepada mana-mana graduan.
“Kita menaja mana-mana pelajar kita di mana mereka ini apabila selesai kursus atau pembelajaran mereka, kerja dijamin untuk mereka.
“Sebab itu kita adakan kerjasama pintar dengan Beyond4 ini sebab kita tahu mereka boleh menjamin pekerjaan dan memang Yayasan Pahang menyediakan satu dana yang cukup untuk membiayai apa yang telah diprogramkan dengan Talent Corp,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Memacu Talent & Startup Menerusi Ekosistem Beyond4 yang diadakan di Hotel Zenith, Kuantan.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), YH. Dato’ Mohd Faizal Jaafar, Penasihat Beyond4 Malaysia, YH. Dato’ Mohamad Nizar Najib, Ketua Pegawai Eksekutif Beyond4, Encik S. T. Rubaneswaran, Pengarah Eksekutif Pahang Skills Development Centre (PSDC), Encik Mohd Yusri Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Go Sdn Bhd, Encik Affandi Mohd Isa.
Jelasnya, Yayasan Pahang mensasarkan seramai 2,000 tenaga kerja yang berkepakaran dapat dilahirkan menerusi program ini dalam tempoh tiga tahun perlaksanaannya.
Beliau menggalakkan para graduan Pahang yang berminat untuk mengikuti tiga kursus yang ditawarkan iaitu program SAP Professional Program, Launchpad 360 dan Emerging Technology supaya dapat memohon segera menerusi www.beyond4.tech.
Jelasnya lagi, program-program ini dapat menambah skil teknikal graduan dalam bidang teknologi bersesuaian dengan kehendak industri sekaligus meningkatkan kebolehpasaran graduan di pasaran kerja.
Program Startup Pre-Accelerator merupakan program usahawan digital pertama di Pantai Timur bertujuan melahirkan Startup baharu yang mampu menjana pendapatan ekonomi setempat.
Menurut Tuan Haji Abd Razak, Yayasan Pahang turut merancang untuk menubuhkan Malaysian Digital Hub yang pertama di Pantai Timur berperanan melatih startup baharu di bawah agnesi itu.
Beyond4 mempunyai hub di seluruh Malaysia antaranya di Pahang, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak serta mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi dan pihak antaranya ialah Perkeso, Talent Corporation Malaysia Sdn Bhd, IIB Ventures Sdn Bhd dan Walta Centre of Excellent (WCOE). – PAHANGMEDIA