Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 5 APRIL 2022 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) tidak mengenakan sebarang caj bayaran kepada mana-mana pengunjung yang ingin membuat tempahan untuk berbuka puasa di padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) di Kuantan.
Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Hussin berkata, mereka hanya perlu membuat tempahan petak melalui laman sesawang rasmi MBK.
Justeru katanya, sebanyak 140 petak telah disediakan bagi membolehkan orang ramai meneruskan tradisi berbuka puasa di padang selepas ia dihentikan seketika ekoran pandemik Covid-19.

“Saya merasakan bahawa ini adalah permulaan untuk kita membudayakan masyarakat dan diri kita, perkara-perkara yang mungkin dahulu tidak ada dalam disiplin kehidupan tetapi pada hari ini kita telah belajar banyak perkara ketika berada di dalam tempoh pandemik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Pasar Ramadan / Basar Aidilfitri Lestari dan Pintar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bagi Tahun 2022 / 1443H dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara MBK dan Axiata Digital Ecode Sdn Bhd di Mahkota Square, di Kuantan, petang semalam.
Jelasnya, bagi setiap petak boleh memuatkan maksimum 12 orang untuk tujuan berbuka puasa yang dibuka dari 6 petang sehingga 8.30 malam dan tempahan boleh dibuat menerusi https://iftar.mbk.gov.my sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh berbuka dipilih.
YH. Dato’ Hamdan berkata, pengunjung perlu memasuki melalui pintu hadapan berdekatan jam besar bagi mendaftar masuk ke padang.
Beliau sebelum itu menjelaskan bahawa MBK telah mendapat kebenaran daripada kerajaan untuk memulakan kembali tradisi berbuka puasa di padang MBK 1. – PAHANGMEDIA