Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 01 APRIL 2022 : Kerajaan Pahang akan membina Kompleks Bekalan Air Kuantan bernilai RM800 juta yang akan menjadi Loji Rawatan Air (LRA) yang terbesar di Pantai Timur.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kompleks ini dijangka dapat menampung 400 juta liter air sehari dan dijangka siap pada 2026.
“Pelbagai inisiatif tambahan lain yang turut dilaksanakan oleh PAIP, antara inisiatif tersebut ialah pembinaan Kompleks Bekalan Air Kuantan yang disasarkan dapat membekalkan sehingga 400 juta liter sehari.
“Kompleks ini akan menjadi Loji Rawatan Air yang terbesar di Pantai Timur. Projek ini akan siap pada tahun 2026 dengan peruntukan berjumlah lebih RM800 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini
Menurut beliau lagi, Kerajaan Pahang juga akan menaiktaraf Rumah Pam Kobat, Kuantan yang dapat meningkatkan bekalan sehingga 60 juta liter sehari pada masa terdekat peruntukan berjumlah RM23 juta.
“Projek Naiktaraf Rumah Pam Kobat, Kuantan juga akan meningkatkan bekalan sehingga 60 juta liter sehari pada masa terdekat ini. Projek ini dijangka siap penghujung tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM23 juta.
“Projek Naiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Merapoh, Lipis, dengan peruntukan berjumlah RM35 juta. Projek Rolling Plan 2 (2022), dengan keutamaan. Projek ini akan ditender pada Julai 2023.
“Projek Naiktaraf Loji Rawatan (LRA) Mela dan kerja kerja berkaitan dengan peruntukan berjumlah RM47 juta. Kerja kerja perunding sedang dijalankan dan akan ditender hujung 2022,” katanya.
Tambah beliau lagi, bagi Projek Loji Baru Lanchang bernilai RM100 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri kini berada pada peringkat awal penentuan skop dan peruntukan oleh pihak EPU, KASA dan PAIP.
“Peruntukan keseluruhan bagi pelaksanaan projek-projek ini adalah lebih daripada RM1 bilion. Ini adalah antara persediaan Kerajaan Negeri Pahang menerima pelabur-pelabur baru dan menaiktaraf sistem bekalan air penduduk setempat,” katanya. – PAHANGMEDIA