Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim & Muhammad Shamim Aiman Shafiq Fauzan (praktikal)
KUANTAN, 31 MAC 2022 : Kerajaan Pahang melalui PahangGo Sdn. Bhd. telah menjalinkan kerjasama dengan pelabur dari China melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM66 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kerjasama tersebut adalah bagi membangunkan projek aplikasi mudah alih bagi pelancongan di negeri ini dengan fokus kepada pelancong dari China.
“Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai langkah bagi memperkenalkan produk pelancongan tempatan dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing.
“Kerajaan Negeri melalui PahangGo Sdn. Bhd. telah menjalinkan kerjasama dengan pelabur asing daripada China iaitu M-Trip Sdn. Bhd. bagi membangunkan Projek Aplikasi Mudah Alih Bagi Pelancongan di Pahang dengan nilai pelaburan RM66 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan oleh Ahlj Dewan Negeri (ADN) Peramu Jaya, YB. Dato’ Sri Haji Sh. Mohmed Puzi Sh. Ali berkenaan pendekatan yang dijalankan Kerajaan Negeri bagi memperkenalkan product tempatan kepada pelancong semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Beliau berkata selain itu, bagi tujuan ini Kerajaan Pahang juga telah menyertai Ekspo Pelancongan Maya 2021 (VTE 2021) pada Ogos tahun lepas.
“Kita juga meneroka peluang kerjasama dengan penggiat industri pelancongan luar negara Eropah melalui penyertaan dalam World Travel Market di London yang merupakan pameran pelancongan kedua terbesar dunia,” katanya.
Selain itu, beliau berkata Kerajaan Pahang juga membawa masuk produk industri kecil dan sederhana (IKS) seperti produk makanan, barangan seni dan kraf.
“Sebagai contoh, Kompleks Serambi Teruntum di Kuantan merupakan sebuah pusat jualan produk-produk tradisional Pahang.
“Agensi pelancongan memasukkan kawasan perniagaan ini dalam pakej pelancongan sebagai salah satu langkah memasarkan produk tempatan kepada pelancong dari dalam dan luar negara,” katanya. -PAHANGMEDIA