Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 31 MAC 2022 : Kerajaan Pahang menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) bagi projek fasa kedua pembesaran kilang melibatkan nilai pelaburan sebanyak RM5 bilion.
Projek yang melibatkan kawasan seluas 101.2 hektar yang berteknologi tinggi dan serba moden ini dirancang turut dilengkapi gudang bahan mentah.
Perjanjian ini ditandatangani oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), YH. Dato’ Razihan Adzharuddin yang mewakili Kerajaan Pahang, manakala ASSB pula diwakili oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Teknologi, Encik Steve Hujiulin yang disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Pan Chuanxia.
Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Hadir sama, YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan Exco Kerajaan Pahang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, ASSB merupakan pelabur pertama di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan merupakan kilang keluli pertama di Asia Tenggara yang mengadaptasi teknologi proses lengkap dalam pembuatan dan pengeluaran besi dan keluli.
“Melalui projek fasa kedua ini, kapasiti pengeluaran produk besi dan keluli yang merupakan antara produk perdagangan eksport utama negeri Pahang dapat ditingkatkan daripada 3.5 juta tan kepada 10 juta tan setahun dengan penambahan produk plat keluli.
“Projek ini bakal menyediakan 3,000 peluang pekerjaan dengan 80 peratus daripadanya adalah untuk rakyat tempatan.
“Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Pahang komited untuk mencapai KPI Pelaburan Pahang yang ditetapkan pada tahun ini berjumlah RM18 bilion. InsyaAllah,” katanya.
Beliau berkata pada 18 Februari lalu, Kerajaan Negeri Pahang telah memeterai perjanjian akhir pelaburan luar negara bernilai RM5.5 bilion bersama enam syarikat pelaburan dari Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan.
“Manakala bagi tahun 2021, Negeri Pahang telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM 10.5 bilion. Jumlah ini melibatkan RM987 juta daripada pelaburan domestik, dan RM9.8 bilion daripada pelaburan antarabangsa,
“Kerajaan Negeri Pahang juga terus komited dalam menyediakan persekitaran yang kondusif serta kestabilan politik yang meyakinkan bagi menarik minat pelabur untuk terus mengembangkan pelaburan di negeri ini,” katanya. -PAHANGMEDIA