Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 30 MAC 2022 : Peruntukan sebanyak RM160 juta telah diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi membina beberapa jalan di kawasan Dewan Negeri Tahan membabitkan Kampung Kuala Sat dan Kampung Bukit Mat Daling di Ulu Tembeling, Jerantut.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, peruntukan tersebut telah diluluskan dan kini dalam proses melantik kontraktor bagi meneruskan kerja-kerja pembinaan jalan-jalan terbabit.
“Dalam rancangan peringkat kedua, pakej kedua, 2A, 2B, 2C dan 2D iaitu jalan susur ke Kampung Kuala Sat sepanjang 7 kilometer (km), daripada Kampung Bantal ke Mat Daling 12km, daripada Mat Daling ke Gusai semua di bawah kawasan Dewan Negeri Tahan, dan termasuklah satu jambatan, sebanyak RM160 juta telah diluluskan oleh KPLB.
“Dalam perancangan KPLB, melantik konsultan KPLB, untuk laksanakan jalan dalam pakej 2A, 2B, 2C bersama dengan jalan pakej 3B iaitu antara Mat Daling sampai ke Pasir Raja, itu dah lulus dan dilantik kontraktor bagi laksana pakej 3B tapi jalan susur yang dinyatakan oleh YB Tahan tadi, iaitu semua dah termasuk dalam pakej KPLB 2A, 2B, 2C, 2D sebanyak RM160 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Ahli Dewan Negeri (ADN) Tahan, YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin berhubung isu pembinaan jalan pada perbahasan Ahli Dewan Negeri (ADN) sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Dalam perkembangan lain, YB. Dato’ Haji Nazri berkata, KPLB turut meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi kerja-kerja penyambungan paip di Kampung Mat Daling hingga ke Kampung Tanah Pindah melibatkan 24 keluarga.
Jelasnya, kerja-kerja penyambungan paip akan dapat dilaksanakan pada tahun ini sebaik sahaja rekabentuk bagi perlaksanaan paip terbabit selesai tidak lama lagi. – PAHANGMEDIA