Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Triang, YB. Cik Leong Yu Man pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

SIDANG DEWAN : CAJ PERKHIDMATAN BANTU PENYELENGGARAAN SISTEM

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Shamim Aiman Shafik Fauzan (praktikal) dan Mohamad Arfan Mohamad Nor Asmadi (praktikal)

KUANTAN, 30 MAC 2022: Caj perkhidmatan online RM1 per transaksi bagi bayaran bil air melalui laman web PAIP dan aplikasi PahangGo merupakan satu nilai yang bersesuaian dengan perkhidmatan mudah dan pantas yang disediakan.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, caj berkenaan adalah untuk memastikan Modul PAIP di dalam aplikasi PahangGo sentiasa diselenggara dengan baik.

“Pengguna masih mempunyai pilihan jika tidak mahu bayar caj transaksi berkenaan iaitu melalui kaedah manual di kaunter berbanding cara mudah di hujung jari sahaja iaitu melalui aplikasi PahangGo.

“Sehingga kini purata pembayaran bil PAIP melalui aplikasi PahangGo ialah kira-kira 5,000 transaksi sebulan dan kita mengharapkan agar rakyat di negeri ini dapat memanfaat kemudahan pembayaran bil dan cukai setempat yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Triang, YB. Cik Leong Yu Man pada sesi soal jawab Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Sementara itu mengulas lanjut berkenaan caj yang dikenakan, YB. Dato’ Haji Fakhruddin berkata, caj perkhidmatan RM1 bagi setiap transaksi bayaran bil air PAIP melalui laman web PAIP adalah caj FPX yang dikenakan oleh pihak PayNet (anak syarikat Bank Negara Malaysia).

“Pihak PAIP sendiri turut menanggung caj FPX sebanyak 40 sen per transaksi bagi bayaran dibuat pengguna melalui aplikasi PahangGo.

“Caj perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak penyedia platform bayaran atau ejen bayaran sentiasa disemak dari masa ke semasa supaya perkhidmatan yang diberikan bukan sahaja memudahkan, malah menjimatkan masa dan kos pengguna,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download