YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melihat replika agihan keuntungan PASFA bagi projek usahasama PPRT Bukit Gayung berjumlah RM1.6 juta pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang kali ke-48 di Swiss Garden Beach Resort, Kuantan malam tadi.

DIVIDEN RM1.6 JUTA UNTUK KERAJAAN NEGERI BUKTI PASFA DI LANDASAN TEPAT

Oleh: Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 26 MAC 2022 : Dividen sebanyak RM1.6 juta yang diterima Kerajaan Negeri menjadi bukti bahawa Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) kini berapa di landasan yang tepat untuk terus mencipta kejayaan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melalui ucapan yang didengar dan diteliti, beliau yakin bahawa PASFA kini berada dalam keadaan yang sangat baik.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman projek tanaman rock melon Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang kali ke-48 di Swiss Garden Beach Resort, malam tadi.

“‘Kerajaan Negeri akan memberi sokongan, dokongan dan perhatian atas apa juga permohonan daripada PASFA. Kita akan bagi pertimbangan khususnya dalam permohonan untuk dapatkan tanah.
Bila dah mohon, selebihnya saya minta PASFA cari lah kalau sekiranya ada lagi (tanah).

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kalau sekiranya tanah tersebut bukan water catchment area (kawasan tadahan air), bukan rizab Orang Asli dan sebagainya, kita tak ada masalah malahan kita lagi suka bagi tanah kepada PASFA kerana manfaatnya akan dapat diperoleh orang ramai berbanding hanya individu. Kita mengetahui bahawa PASFA mempunyai kedudukan kewangan yang agak baik kalau dibandingkan dengan individu yang ada kala kemampuannya terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang kali ke-48 di Swiss Garden Beach Resort, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PASFA, YH. Dato’ Haji Zamri Yaakob; Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, YH. Dato’ Azulita Salim; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi Tan Sri Abd. Razak serta Pengerusi Jawatankuasa KerjaRaya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang kali ke-48 di Swiss Garden Beach Resort, malam tadi.



Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya telah mengambil maklum berhubung beberapa permohonan PASFA khususnya berkaitan isu tanah ladang di Gambang, serta permohonan pengurangan premium di Chegar Perah, Lipis.

“Saya yakin pihak yang berkenaan sedang memperhalusi permohonan ini dan akan menyelesaikannya segera, InsyaAllah.

“Apa yang saya boleh kata ialah masalah berkenaan permohonan tanah berkenaan sejak 15 tahun lalu adalah selesai, ” katanya.

Sementara itu beliau berkata, perniagaan teras (core business) PASFA adalah kelapa sawit dan ia perlu diperkukuhkan dan juga diperluaskan demi kelangsungan pertubuhan ini.

“Kita nak dia punya pulling factor atau core activity yang membolehkan PASFA sustainable (mampan) untuk masa yang akan datang. Ini perlu kerana kita tahun tahap ekonomi sangat progresif dan dinamik, jadi sudah tentu ada sesuatu core activity mereka yang boleh menjamin masa depan PASFA.

“Pulangan dalam jangka masa yang singkat selepas banyak perkara tertangguh dan terpaksa dihentikan ketika pentadbiran Pakatan Harapan selama 22 bulan, selepas dua bulan dan berpindah tangan, kita dapat lihat PASFA mula mencipta keuntungan berbanding sebelumnya.

“Kalau dah boleh bayar dividen maknanya keadaannya bertambah baik, tapi kalau tak boleh bayar dividen maknanya tak berapa baik dari segi cash flow (aliran tunai) dan sebagainya,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download