Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 MAC 2022 : Pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) diterima dengan penuh rasa tanggungjawab di samping terselit azam untuk terus membantu golongan yang memerlukan.
Pengerusi JPKK Kampung Sungai Par, Jerantut, Encik Mohd Nasir Abdullah Sani, 65, pengalaman bergelar ketua kampung sejak tahun 1996 dapat diteruskan selepas kembali dilantik dilantik bagi sesi 2022/2023.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah izin Nya saya masih diberi amanah dan tanggungjawab untuk menjalankan tugas sebagai Pengerusi JPKK di kampung saya. ‘
“Fokus utama kita adalah kepada aktiviti kemasyarakatan, dari segi pembangunan, infrastruktur dan modal insan. Kita akan cuba menyelesaikan semua masalah di perkampungan kita yang melibatkan lebih 500 buah keluarga dengan sedaya upaya,” katanya.
Bagi Pengerusi JPKK Kampung Seri Sedia, Cameron Highlands, Encik Mohd Yusoff P. Abdul Satar, 54,kepercayaan diberikan amat dihargai dan menjadi peluang kepadanya untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Saya adalah lantikan baru untuk sesi 2022/2023, saya rasa sangat beruntung dan berbangga dapat berkhidmat di bawah kepimpinan Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana dengan kepercayaan dialah saya dapat memikul jawatan ini.
“Misi saya kalau boleh seperti dalam ucapan Menteri Besar di mana kita nak membantu semua golongan rakyat, bila kita membantu kita memberi imej yang baik kepada MB dan Kerajaan Negeri,” katanya.
Jarang sekali berlaku, namun gelaran ketua kampung bagi Puan Azlina Azma Mohd Azmi, 43, selaku Pengerusi JPKK Kampung Kuala Rompin telah dipikul selama tiga penggal.
“Sebenarnya kalau nak diikutkan perasaan menjadi ketua kampung ni memang berbezalah dengan lelaki sebab Tok Empat ni selalunya orang lelaki. Bercerita mengenai pengalaman kali pertama memegang jawatan Tok Empat wanita ni, sudah pasti perasaan tu memang berdebarlah sebab kita berurusan dengan orang kampung.

“Alhamdulillah selama tiga penggal pegang jawatan, komitmen dan hubungan dengan orang kampung bertambah erat sebenarnya sebab pengurusan pun banyak melibatkan golongan ibu-ibu, mak-mak yang rapat dengan kita,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang dipimpin Dato’ Sri Haji Wan Rosdy di atas kenaikan elaun ketua kampung yang diperoleh sejak tahun lalu.
“Bila diumumkan kenaikan elaun, kami bersyukur Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak YAB Menteri Besar. Kenaikan (elaun) itu bukanlah imbuhan yang diharapkan sangat tapi ia memberi manfaat untuk kami selaku ketua kampung untuk menggunakannya dari segi pergerakan, membantu masyarakat mana yang boleh kita dahulukan,” katanya. -PAHANGMEDIA