Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
JERANTUT, 24 MAC 2022 : Peranan aktif anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) seharusnya dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan segala permasalahan yang timbul sampai ke pihak atasan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka yang dilantik oleh kerajaan ini adalah individu-individu yang diyakini mampu menyampaikan suara rakyat yang memerlukan.
“Saya menyeru kepada mereka agar memainkan peranan yang sewajarnya selaku pengerusi kerana mereka dilantik oleh kerajaan untuk memastikan apa jua permasalahan dapat dibawa ke pihak berwajib dan mereka ini juga mata dan telinga kepada kerajaan.
“Saya berharap mereka dapat menjalankan tugas dengan baik kerana kita tidak mahu nanti ada pihak lain yang mengambil peranan mereka kerana mereka sepatutnya lebih tahu tentang kampung mereka sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas merasmikan Konvensyen Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Pahang dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru (JKKKB) Negeri Pahang Darul Makmur Sesi 2022/2023 di Dewan Majlis Daerah Jerantut, di sini hari ini.

Turut hadir YB Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, Timbalan Yang Di Pertua Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohamed Haji Jaafar, barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang serta pemimpin setempat.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut berharap agar mereka yang terpilih ini turun padang untuk melihat sendiri keadaan masyarakat di kawasan masing-masing.
“Usaha ini perlu menjadi inisiatif mereka atas dasar dan kapasiti sebagai pengerusi di mana mereka seharusnya mengambil tahu, jangan hanya menunggu orang datang ke rumah (tapi) perlu turun padang kalau boleh kena tahu populasi di kampung mereka seperti berapa orang anak muda, berapa orang tua, berapa penduduk berumur 80 tahun ke atas, berapa ibu tunggal dan pesakit terlantar yang harus dibela dan dijaga dengan baik.
“Ini kerana kita sebagai kerajaan tidak semestinya tahu semua benda, sebab itu kita lantik pengerusi ni sebagai ‘react on behalf’ daripada pihak kerajaan jadi orang boleh laporkan kepada DO (Pegawai Daerah), wakil rakyat atau Exco dan begitu juga Ahli Majlis, mereka juga ada forum, mesyuarat boleh sampaikan kepada DO dan sebagainya. Saya tidak mahu mereka hanya hadir (mesyuarat) saja tanpa menyampaikan sebarang permasalahan di tempat masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu beliau berharap penyelarasan elaun antara JPKK dengan JKKKB yang dipersetujui naik daripada RM500 kepada RM750 sebulan bermula 1 Januari dapat memberi suntikan semangat kepada mereka untuk bertugas dengan lebih baik. -PAHANGMEDIA