Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 24 MAC 2022 : Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) kini sedang menanti kelulusan berkenaan kebenaran untuk orang awam berbuka puasa di Padang MBK 1 pada bulan Ramadan tidak lama lagi.
Datuk Bandar MBK, YH. Dato’ Hamdan Husain berkata, ia merupakan salah satu tarikan pelancong di negeri Pahang pada setiap tahun khususnya bagi bandar Kuantan sendiri.
“Sebenarnya perkara ini (keputusan) bukan sahaja ditunggu pihak kami, tetapi orang ramai juga tertanya-tanya sama ada boleh atau tidak untuk kembali berbuka puasa di padang MBK1, tahun ini.
“Ia sudah menjadi ikon dan daya penarik tiap kali bulan Ramadan, memang menjadi pilihan dan boleh dikatakan sebagai tradisi, jadi kita harap tahun ini Kerajaan Negeri boleh memberi persetujuan untuk membenarkan orang ramai berbuka di situ,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan permit penganjuran Pasar Ramadan/Bazar Aidilfitri Lestari dan Pintar Majlis Bandaraya Kuantan 2022 di Dewan Bandaraya, Kompleks Bandaraya Kuantan, di sini hari ini.
Sementara itu beliau berkata, pihaknya sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) ketat di samping menggunapakai SOP sedia ada yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seandainya memperoleh kebenaran daripada Kerajaan Negeri.
“Kalau dari segi persediaan, tidak jadi masalah dan kita juga sudah melakukan banyak penambahbaikan di situ, termasuklah menaiktaraf sistem pencahayaan serta membina menara jam baharu yang turut boleh dijadikan tarikan pelancong.
“Selain itu, kita juga menyediakan 65 petak atau tapak untuk orang ramai, terutamanya mereka yang berkeluarga dan mahu menyertai program berbuka puasa di situ kelak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pihaknya juga sudah mengutus surat permohonan kepada MKN mengenai cadangan membenarkan penggunaan padang MBK1 bagi tujuan berbuka puasa sepanjang Ramadan tahun ini.

“Secara dasarnya, mereka (MKN) tidak ada halangan (untuk membenarkan) jika kerajaan negeri memberikan kebenaran dan hari ini kerajaan negeri ada mesyuarat exco jadi kita tunggulah kalau ada pengumuman atau keputusan dibuat berhubung perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai penganjuran Bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, beliau memaklumkan sebanyak 25 lokasi diluluskan dan seramai 1,045 peniaga sudah diberikan permit untuk berniaga.
“Seperti tahun sebelumnya, kita tidak menaikkan caj atau bayaran bagi permit peniaga bazar Ramadan dan Aidilfitri di bawah kendalian MBK.
“Semua SOP dikuatkuasakan tahun lalu juga kita teruskan untuk bazar tahun ini dan kita sekali lagi menggalakkan peniaga dan pelanggan melakukan transaksi tanpa tunai dalam urusan jual beli di bazar Ramadan atau bazar Aidilfitri,” katanya.
Antara SOP ditetapkan MBK ialah peniaga dan pelanggan perlu lengkap sekurang-kurangnya dua dos vaksin COVID-19 dan mengimbas MySejahtera di pintu masuk bazar.
Beliau turut mengingatkan peniaga supaya menjaga kebersihan bagi mengelak pihaknya mengeluarkan arahan penutupan bazar yang dikesan gagal mematuhi SOP ditetapkan. -PAHANGMEDIA