Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 19 MAC 2022 : Sambutan ibu bapa dan pelajar dari keluarga kategori B40 dan M40 terhadap Pahang Pride Student menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu, sangat menggalakkan.
Pegawai Jualan MBS Bookstore Kuantan, Puan Alia Adnan berkata, sehingga kini ramai ibu bapa dan pelajar, sama ada yang sudah mempunyai kad atau belum mempunyai kad telah mendapatkan barangan keperluan persekolahan untuk merebut potongan diskaun 20 peratus yang ditawarkan menerusi Pahang Pride Student.
Menurutnya, kebanyakan pelajar yang masih menerima kad mereka boleh membuat pemeriksaan di kaunter perkhidmatan bagi merebit potongan diskaun sebanyak 20 peratus sehingga 50 peratus bagi barangan terpilih.
“Pelajar yang masih belum mendapatkan kad Pahang Pride Student boleh datang ke mana-mana MBS untuk meneriksa kelayakan anda untuk mendapatkan diskaun 20 peratus.
“Tidak ada masalah (jika tiada kad), datang sahaja ke mana-mana MBS, pergi ke kaunter perkhidmatan pelanggan untuk periksa kelayakan menggunakan kad pengenalan ibu bapa atau penjaga,” katanya.
Ketika tinjauan Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di MBS Bookstore Kuantan mendapati, pelbagai barangan keperluan sekolah diberikan potongan diskaun istimewa antaranya adalah beg sekolah, pembalut buku, bekas pensel, buku tulis dan peralatan tulis.
Sementara itu, seorang bapa, Encik Zulkhizal Zakaria, 38, berkata, dia mendapatkan peralatan persekolahan anaknya di MBS Bookstore dan terkejut apabila diberitahu bahawa anaknya layak menerima Pahang Pride Student selepas memeriksa di kaunter pembayaran sebelum membayar barangan yang dibeli.
“Pahang Pride Student ini memberi manfaat kepada keluarga B40 ke bawah lah, kiranya baguslah, kita datang beli barang, dalam masa ekonomi sekarang ni baguslah dapat potongan begini sangat membantu,” katanya.
Pelajar daripada keluarga M40 dan B40 boleh datang ke MBS Bookstore bagi memeriksa kelayakan untuk mendapatkan keperluan persekolahan yang berkualiti pada harga berpatutan ditambah dengan potongan 20 peratus menerusi Pahang Pride Student.
Pihak MBS juga turut memberikan potongan diskaun sehingga 50 peratus kepada beberapa barangan keperluan persekolah terpilih seperti beg sekolah berjenama.
Program Pahang Pride Student telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Februari lalu yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 238,000 pelajar daripada 150,000 keluarga B40 dan M40 di seluruh Pahang.
Program ini terbahagi kepada dua kategori iaitu diskaun sebanyak 20 peratus bagi pelajar kategori B40 dan M40 yang mendapatkan barangan persekolahan di MBS Bookstore dan kategori kedua adalah bantuan RM100 kepada pelajar miskin dan miskin tegar bagi pembelian peralatan persekolahan. – PAHANG MEDIA