KUANTAN, 17 MAC 2022 : Kerajaan Negeri Pahang melalui Tourism Pahang bersama Pejabat Daerah dan Tanah seluruh Negeri Pahang akan menganjurkan acara Pahang Hiking Day 2022 di 13 lokasi di seluruh negeri pada Ahad ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Bukit Buloh di Jerantut bagi menyertai acara berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Perlancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar , Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, acara pendakian ini akan disiarkan secara kaedah ’live streaming’ dari seluruh Negeri Pahang kepada penonton di laman Facebook Tourism Pahang.
“Ini merupakan platform terbaik bagi mempromosikan lokasi pendakian di seluruh Negeri Pahang dan secara tidak langsung, penonton dapat merasai pengalaman pendakian bersama peserta acara ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, acara ini adalah pendakian santai yang bertujuan untuk mempromosikan bukit-bukit yang terdapat di seluruh Negeri Pahang serta menggalakkan rakyat Negeri Pahang mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti ‘hiking’.
“This is Pahang – Unlimited”, acara Pahang Hiking Day 2022 adalah pemangkin untuk pelancong dari luar Negeri Pahang untuk mencuba dan menerokai “hidden gems” di negeri ini melalui pendakian di bukit-bukit yang menjanjikan pemandangan yang menarik di seluruh Negeri Pahang.
“Struktur muka bumi dan alam sekitarnya yang pelbagai membuatkan Pahang memiliki pelbagai tarikan peranginan, terdapat sebanyak 79 bukit di seluruh negeri ini dan sejumlah 2044 batang sungai meliputi keseluruhan negeri yang boleh diterokai oleh pelancong di Negeri Pahang.
“Selain itu, terdapat juga 26 buah Taman Eko-Rimba dan dua buah Hutan Taman Negeri (Taman Negeri Rompin dan Taman Negeri Cameron Highlands) yang menyediakan pelbagai aktiviti rekreasi bagi seisi keluarga dan juga peminat aktiviti luar,” katanya. – PAHANGMEDIA