KUANTAN, 16 MAC 2022 : Kerajaan hari ini mengumumkan kebenaran untuk pencarum melakukan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, perincian mengenai pengeluaran simpanan terbabit akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan dan KWSP.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada dapatan kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
Beliau berkata, keputusan memberi kebenaran pengeluaran caruman KWSP itu adalah keputusan yang sukar kerana ia membabitkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.
Katanya, walaupun kerajaan memberi kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun beliau merayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.
Beliau berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan. – PAHANGMEDIA