KUANTAN, 15 MAC 2022 : Beberapa kesalahan melibatkan pembinaan struktur di atas tanah kerajaan dikesan dilakukan oleh tiga buah pusat peranginan dan kafe milik Pengerusi Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Prof. Dr. Shariffa Sabrina Syed Akil.
Pengarah Tanah dan Galian Pahang, YH. Dato’ Haji Fadzilla Haji Salleh berkata, pada 11 Jun 2021, anggota penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah membuat siasatan di tiga pusat peranginan dan kafe berkenaan di Daerah Bentong dan Raub.
“Ia melibatkan Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant, Mukim Bentong, Daerah Bentong; Tanah Aina Fahad Glamping Resort, Mukim Ulu Dong dan Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Resort, Mukim Tras, Daerah Raub.
“Hasil siasatan mendapati, pusat peranginan tersebut adalah milik Shariffa Sabrina Binti Syed Akil dan beberapa kesalahan telah dikesan melibatkan pembinaan struktur di atas tanah kerajaan.
“Antaranya adalah sebahagian struktur bangunan resort, kawasan tempat letak kereta
dan laluan pejalan kaki,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, susulan daripada itu, tiga kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 425 (1) (a) Kanun Tanah Negara (Akta 828) iaitu melibatkan pendudukan secara tidak sah tanah kerajaan dengan cara menduduki atau membina apa-apa bangunan di atas tanah kerajaan.
Katanya, kertas-kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Pahang pada Julai 2021.
“Kes ini telah didaftarkan pada 27 Januari 2022 dan sebutan kali pertama akan berlangsung pada 15 Mac 2022 (hari ini) di Mahkamah Sesyen Raub,” katanya. – PAHANGMEDIA